Isi kandungannya Surah_Az-Zukhruf

Membentangkan sebahagian dari pertentangan keras yang dihadapi oleh "Dakwah Islamiyah" dalam zaman Nabi (s.a.w.) dan menerangkan bagaimana pertentangan itu diberi penjelasan-penjelasan yang disertakan dengan dalil-dalilnya di dalam Al-Quran nul Karim.

Kemudian Allah Taala (Allah yang Esa) menegaskan bahawa sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran Al-Quran maka Allah akan mengadakan baginya Syaitan yang menghasut dan menyesatkan-nya lalu menjadilah ia temannya yang tidak renggang daripadanya.

Ditegaskan juga bahawa Al-Quran itu menjadi kemuliaan besar dan peringatan bagi Nabi Muhammad (s.a.w.) dan kaumnya serta umat Islam seluruhnya kerana mengandungi pelajaran dan undang-undang yang sesuai bagi segala tempat dan segala zaman.

Setelah menceritakan perihal Nabi-nabi yang telah lalu, maka Allah Taala menerangkan, bahawa Nabi Isa (a.s.) menjadi tanda tentang kedatangan hari kiamat. Yakni salah satu di antara tanda-tanda yang menunjukkan hampirnya hari kiamat ialah turunnya Nabi 'Isa (a.s.) pada akhir zaman. (Hal ini dijelaskan lebih lanjut di dalam hadis-hadis Nabi, s.a.w. yang Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan lain-lainnya).